Saturday, August 15, 2009

Mencari jalan keluar

Bismillah, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

'Mereka'...lebih dahulu mendapatkan kita.

'Mereka'...lebih dahulu menangkap perhatian kita.

Sejak kecil, kita didedahkan dengan 'mereka'.

Lemas, hanyut dengan 'mereka' sehingga menyukarkan kita mencari ruang untuk bernafas.

Seperti di lautan dalam.

Baru seketika muka dapat dikeluarkan ke permukaan laut untuk menghirup udara segar, kedua-dua kaki seperti ditarik-tarik semula, kuat masuk ke dalam semula.

Ketika itu hanya kekuatan dan kesabaran yang memisahkan di antara permukaan dan dasar.

Tidak boleh disalahkan, kerana 'mereka' itu sudah terlalu sebati dalam diri.

Sejak kecil dibiasakan. Maka mengambil masa untuk keluar dari kebiasaan itu.

Teruskan berusaha dan bermujahadah.

Kerana itu yang dilihat dan dinilai.

Yang berjaya keluar, alhamdulillah. Bayangkanlah diri seperti terselamat bersama-sama dengan bahtera Nabi Nuh.

Di atas bahtera itu, lihatlah ke bawah semula. Adakah ingin menjadi lemas semula bersama-sama yang masih belum mendapat kekuatan?

Adakah ingin lihat sahaja, atau menurunkan diri dari bahtera dan membantu?

Bimbang jika demikian, akan termasuk dan lemas semula.

Maka perlu mempersiapkan diri dan berstrategi.

Menyampaikan. Ya, perlu menyampaikan! Bagaimana? Menjerit dari atas bahtera? Dapat dengarkah mereka?

Yang mendengar akan dengar, yang tidak mendengar mungkin sudah tidak dapat dengar kerana terlalu lemas.

Atau...

Sementara itu, yang masih mencari jalan untuk keluar sepenuhnya dari kelemasan itu, bertahanlah! Minta kekuatan dan keampunan dari-Nya.

Firman Allah:

"Katakanlah (Muhammad), 'Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)."

(Al-Kahfi: 109)

Ketahuilah sesungguhnya keampunan dan rahmat Allah itu sangat luas.

Perlukah ada rindu kepada lautan yang pernah melemaskan itu?

Sebagai manusia yang asalnya lemah lagi hina namun telah diangkat darjatnya dan dimuliakan oleh-Nya,

Aku, tidak dapat, tidak berhak berkata apa-apa.

Kerana takdirku jua di tangan-Nya, Yang Mencipta.

Yang sentiasa mengharapkan peliharaan dan perlindungan terbaik dari-Nya.

Siapakah 'mereka'?

Itulah jahiliyyah diri kita.

No comments:

Post a Comment