Wednesday, August 12, 2009

Kelebihan dan Kekurangan

Bismillah, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

"I only got what God has given me" (Bilal bin Rabah in 'The Message')

Bilal bin Rabah dikurniakan suara yang lunak untuk melaungkan azan.

Saat dialog ini terucap, ketika itu aku baru sahaja selesai berbual dengan seorang sahabat yang menyedarkan aku tentang fungsi manusia.

Bagaimana manusia dapat berfungsi dengan baik?

Melalui kelebihan masing-masing. Kelebihan yang telah dikurniakan dan dipinjamkan sementara oleh Allah S.W.T. Kita tidak tahu jika Allah akan menariknya kembali. Bersyukurlah kerana kita masih dikekalkan dengan pinjaman itu, sedangkan kita tidak sedar betapa banyak dosa yang telah dilakukan.

Betapa Allah itu bersifat ar-Rahman dan ar-Rahim.

Gunakan kelebihan masing-masing ke jalan yang betul. Yang pandai bercakap, bercakaplah sewajarnya. Yang pandai menulis, menulislah sewajarnya. Yang pandai mengurus, uruslah perkara-perkara yang baik. Yang pandai mencipta, ciptalah benda yang bermanfaat. Yang pandai bawa kereta, pandulah ia ke tempat yang betul.

Banyak contoh dari para sahabat. Antara yang termasyhur, Abdul Rahman bin Auf yang dikurniakan harta yang sangat banyak dan melimpah-ruah, telah membelanjakan kesemuanya ke jalan Islam. Manakalah Khalid bin al-Walid yang dikurniakan kepandaian berlawan telah menggunakannya untuk berperang di jalan Islam.

Sesuai dengan fitrah, setiap kelebihan ada kekurangannya. Manusia bukanlah manusia jika tiada kekurangan.

Manusia melengkapi satu sama lain dengan kelebihan dan kekurangan tersebut. Yang kurang pandai bercakap akan meminta tolong yang pandai bercakap untuk cakapkan sesuatu.

Oleh sebab itu, penting, sangat penting untuk kita berbuat baik dengan semua orang, agar kita dapat sama-sama memanfaatkan kelebihan masing-masing.

Tentang kekurangan pula, ia mengajar kita erti bersabar dan berlapang dada.

Proses menyesuaikan diri dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing ini, insya-Allah akan menjadikan kita manusia yang lebih baik di sisi Allah S.W.T.

Bertanggungjawab dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Malu nanti depan Allah bila ditanya apa kita lakukan dengannya, jawapan yang diberikan kurang memuaskan.

Usahakanlah!

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment