Monday, February 15, 2010

Sama tetapi tidak serupa

Bismillah,

Seperti biasa, hari Ahad, hari mengumpul suratkhabar.

Kenapa aku cakap kumpul, sebab cuma hari Ahad jer family aku akan beli semua jenis suratkhabar, walaupun berita banyak yang sama. Dan memang semua akan dibaca. Ini bukan rungutan. Membaca itu bagus :-)

Aku juga, seperti biasa, hari Ahad adalah hari mengetahui berita hiburan untuk sepanjang minggu.

Aku baca sesuatu yang menarik dalam Pancaindera hari ini. Tentang Wardina Saffiyyah bercakap tentang kerendahan moral artis Malaysia sehinggakan tidak layak menjadi ikon atau role model.

Aku tidak mahu menyentuh tentang tajuk itu, kerana Wardina dah cakap semuanya. Aku setuju dengan Wardina. Sekurang-kurangnya dia mengambil berat dengan memberanikan diri berkata yang benar, walaupun memang akan mengguris hati artis lain. Wardina juga tidak menganggap dirinya serba sempurna, kerana memang semua orang tahu tiada siapa yang sempurna, sementelah Wardina mengaku "tidak terlepas dari kekhilafan terutama di awal pembabitannya sebagai artis dan tersepit dengan tuntutan 'seksi' dunia hiburan".

Dulu aku peminat Wardina. Kini apatah lagi. Suka tengok Wardina sebagai perantara di MHI berkongsi pengetahuannya terutama nutrisi makanan anak-anaknya.

Aku faham Wardina tidak maksudkan semua artis. Ada artis yang berjaya yang boleh dijadikan ikon untuk berjaya dalam perniagaan dan karier kerana usaha yang bersungguh-sungguh seperti Datuk Siti Nurhaliza dan KRU (sekadar memetik contoh dalam artikel) tapi aku faham apa yang dimaksudkan oleh Wardina ialah ikon untuk masyarakat secara keseluruhannya dan kanak-kanak secara khususnya.

Yang paling menarik perhatian aku adalah komen artis-artis lain tentang kenyataan berani Wardina itu. Seperti dijangka, ada artis yang terasa dan minta supaya Wardina berfikir sebelum bercakap, artis tak minta dilabel sebagai ikon, tak semua artis berpelajaran seperti Wardina dan terpaksa menjadi artis atas desakan hidup, definisi seksi bergantung kepada individu dan beberapa komen lagi. Ada juga yang dapat berfikir secara rasional selepas memberi komen dengan berkata yang teguran Wardina itu baik sebagai ingatan sesama manusia.

Membaca semua ini membuatkan aku tersenyum kerana mengingatkan aku kembali kepada situasi yang aku pernah alami melalui blog ini, tidak berapa lama dahulu.

Isunya tidak sama. Situasinya serupa.

Manusia memang suka membuat justifikasi. Aku sendiri tidak terlepas. Cuma aku berharap aku tidak terlalu extreme membuat justifikasi seperti kisah kaum Yahudi membuat justifikasi menangkap ikan di hari Sabtu sehingga digelar kera yang hina oleh Allah S.W.T. seperti dalam surah al-Baqarah ayat 65 dan surah al-A'raf ayat 166. Cerita dan huraian lanjut boleh dibaca di sini.

Yang halal itu jelas, yang haram itu juga jelas. Dan peliharalah antara keduanya sepertimana yang disebut dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim:

 "Dari Abu Abdullah An-Nu'man bin Basyir r.a. katanya : saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : ' Sesungguhnya yang halal itu terang ( jelas ) dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat pekara-pekara yang syubahat ( tidak terang halal atau haramnya ) yang tiada diketahui oleh orang ramai. Orang yang memelihara dirinya dari pekara-pekara yang syubahat itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatan dirinya. Orang yang tergelincir ke dalam pekara syubahat itu akan tergelincir masuk ke dalam pekara haram. Laksana seorang pengembala di pinggir sebuah tempat larangan, yang akhirnya lalai dan masuk ia ke dalam tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja sebuah tempat larangan, dan tempat larangan Allah itu adalah pekara-pekara yang diharamkanNya. dan ketahuilah pada setiap jasad itu seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati. '


Wallahualam.

1 comment:

  1. Salam.

    Saya juga masih ingat "situasi yang serupa" itu kerana itu la titik mula macam mana saya boleh kenal blog ini (walaupon sedikit lambat semasa "isu tersebut" sudah semakin "sejuk").

    Anyways, teruskan menulis dan menegur dengan cara yg berhemah dan berhikmah dalam usaha mensucikan hati dan mencari Maghfirah dan Mardhatillah. :')

    ReplyDelete