Wednesday, February 10, 2010

Al-Amin

Nabi sedar gerak sekeliling, dibaca lebih dalam, dimengerti lebih akar.
Dan kepada Usamah yang amat menunggu, diteliti wajar pahlawannya;
Di tengah khalayak yang menati, suara Baginda tenang dan mesra, suara itu lebih ke arah Usamah.
Diulangi waras pilihannya, pahlawan pengganti perkasa ayahnya,
Usamah memang tepat, dan Baginda mengarah pasukannya bermula.
Khalayak terdiam beberapa ketika, angin saja yang bersuara,
Unggas sesekali melintas di kepala, dan khalayak khusyuk masih menantinya,
Berkatalah Baginda tidak dipilih jika tidak ke pihak Allah.


Segelintir sahabat cepat mengerti, tangis dan pilu disembunyikan,
Dan Abu Bakar al-Siddiq, dalam gelora rasa yang dikawal,
Amat memahami mengapa begitu kata Baginda,
Mengapa antara dunia dan akhirat, Nabi hanya memilih Allah.
Dan seperti dirasakan lebih awal, dipandangnya Abu Bakar yang keruh wajah,
Disimbahkannya cahaya yakin, dipinta agar sahabat yang diambilnya sebagai khalil sentiasa tabah dan cekal dirinya.
Dirinya lemah dan uzur, dirinya saja dipinta menanggung,
Dan khalayak diberikan nasihat dan semangat, 
Madinah masih diancam, wajar dijaga.


Wajah Baginda sentiasa mengerti, tenang dan sabar pancaran utama,
Sebelum meninggalkan masjid, pesannya masih ada, khalayaknya tetap menunggu,
Kepada mereka, ke arah setiapnya, Nabi berpesan, Muhajirin paling diingatkan.
Seperti berwasiat Baginda kepada mereka, seperti dipinta telinga yang jelas,
Dan kaum Muhajirin seperti diketahui hasrat Baginda, seperti ditunggu amanatnya.
Dan dalam bahasa amat jelas, tulus dan rindu di dalamnya,
Diulangi pesannya agar bersaudara mereka, Muhajirin dan Ansar,
Kerana Ansar terlalu besar jasanya pada Nabi.


Hari yang berlalu seperti pilu, malam yang berganti seperti sepi.
Setiap khabar sekitar Baginda, bangun dan tidurnya, cakap dan senyapnya,
Terkhabar cepat ke khalayak, ditimbang dan difikir dalam resah,
Ditafsir dan ditamsil pelbagai warna.
Dan Nabi, dalam lemah dan resahnya, masih tetap berulang-alik ke masjid mengimami solat berjemaah,
Dan hinggalah pada suatu ketika, Baginda sendiri terasa amat lemahnya,
Lalu, kepada Aisyah diperintah supaya Abu Bakar mengimami solat,
Dalam khusyuk yang sama, Aisyah, entah mengapa, kurang selesa menerimanya.


Seperti terkejut Umar bin al-Khattab, dipandangnya Nabi dibaca wajah,
Pemimpin yang sakit cergas berfikir nasib ummah ditafsirkannya.
Berkira dan beralas, diseluk ke dalam batin, ditenung mata Baginda,
Dan dengan yakin tapi ketar, Umar cuba mengingatkan:
Benar kita dalam gawat, benar ummah dalam kacau,
Tapi tidakkah telah diwariskan mereka dengan al-Quran,
Tidakkah kitab yang demikian sempurna,
Tidakkah segala ayat di dalamnya jawapan setiap masalah, pimpinan setiap tindak.
Lalu sesama sahabat, depan Nabi, berhujahlah mereka.


Berkisah dan berhujah, sihat suasana yang dicari, dewasa hati ummah.
Dan sementara mereka kuyup dalam jernih bicara, 
Nabi, dalam usia enam puluh tiga, lemah yang segar, 
Dengan mata tetap bercahaya, rambut putih sekelompok dua,
Mula mengulangi keyakinan dan mimpinya.
Telah bermimpi Baginda akan syurga, telah dicapainya buah anggur.
Khalayak yang amat menyayangi Baginda, mendengar khabar sedemikian,
Faham dalam sedihnya, kerana amat tahu,
Baginda lebih dan ghairah berkata tidak lagi tentang dunia,
Segala-gala mula ke akhirat impinya.


Masih khalayak di keliling katil, Aisyah paling hampir dipanggil,
Dan, dalam bisik, ditanyakan ke mana milik delapan dinarnya,
Dan dengan tegas, dipinta supaya disedekah.
Malam menjadi lebih bertanya, awan yang ghaib dipercayai ada,
Langit masih penuh rahsia, dan unggas yang lena diyakin wujud.
Malam lanjut dengan resah, nafas Nabi seperti teriring,
Dan khalayak ketar dan pilu, bauran yang ganjil dalam syahdu.
Dan seperti tenang tampaknya Nabi, suhu badan seperti berkurang, berkat ubat dari Asma',
Dan Nabi, seperti biasa, pinta ke masjid dirinya.


Hari panas ketika itu, mentari mempunyai kisahnya sendiri, dan langit masih penuh rahsia.
Hari panas ketika itu, alam mempunyai ceritanya sendiri, dan gurun masih penuh rahsia.
Nabi meminta bejana air, diseluk ke air dan diusap wajahnya, berkata tenang datangnya ajal dan rela.
Di pangkuan isteri kepalanya, berkata ia sukar diterka, 
Dan tengah hari Rabiulawal tahun 11 Hijrah Nabi yang mulia menghembus nafas akhirnya.
Hari panas ketika itu, mentari mempunyai kisahnya sendiri, dan langit masih penuh rahsia.
Hari panas ketika itu, aduh Nabi sudah tiada.

"Al-Amin" 
Datuk A. Samad Said

__________________________________________________________________________________

Terbaca puisi ini ketika membaca sebuah novel.
Tersentuh.
Terasa.
Aku suka.
Sekilas kisah hidup Baginda, hingga akhir hayatnya...

9 comments:

  1. Salam.

    Menarik puisi ni. Sedutan dari novel apa ye?

    ReplyDelete
  2. Owh, baek. Terima kaseh. :')

    Nanti nak cuba cari dan baca lepas habiskan baca satu stack "bahan bacaan CNY" yg baru beli di MPH.

    ReplyDelete
  3. tp novel tu novel lama..kemungkinan besar dah tak dijual lagi..

    ReplyDelete
  4. Iynas, this is beautiful. Meremang bulu roma. Nak share kat link I boleh?

    ReplyDelete
  5. sure amy..no prob..sebar-sebarkan :-)

    ReplyDelete
  6. Owh, novel lama ke? Patut la rasa cam penah dengar tajuk tue (sbb da tak update tajuk novel-novel baru. Lgpn saye kurang membaca in BM these days. Lalala~)

    Nanti nak cuba cari jugak. Kalo takde, pinjam dari Iynas je la. Bole ke?

    ReplyDelete
  7. buku tu abang saye punye..kene mintak kebenaran dia dulu laa..hehe

    ReplyDelete
  8. Abang sulung punye eh? Nanti la saye pinjam dari abang Iynas kalo saye cari tak jumpa jugak.

    Tapi paling penting sekarang, nak habiskan baca longgokan "bahan bacaan" yang ada depan mata ni dulu. Ehehe.

    ReplyDelete