Monday, June 8, 2009

Hadiah dari Dia

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Aku dan W baru saja tiba di rumahnya. Singgah sebentar utk solat sebelum keluar semula. Kelihatan A, yang baru tiba dari utara bersama rakannya K.E. sedang menyudahkan solatnya. Mereka baru tiba, dan aku belum kenal mereka. Selesai solatnya, A menegur aku dengan mesra. Sangat mesra. Bukan setakat bersalaman, malahan memeluk aku dengan erat. Katanya gembira dapat berjumpa, sedangkan itulah pertama kali kami bertentangan mata.

"Habis solat, awaklah orang pertama yang saya nampak dan saya rasa seronok".

Begitulah lebih kurang kata-katanya. Hati aku tersentuh. Katanya mukaku nampak berseri. Bagi aku, mukanya lagi berseri dengan senyuman dan kemesraannya. Mungkin aku nampak berseri kerana baru pulang dari sebuah majlis sebelum itu. Tapi bagi aku, keserian aku tidak mungkin menandingi keseriannya.

Aku rasa diterima. I feel belong. Padahal aku penduduk setia di sini. Sepatutnya aku yang buatkan A sebagai tetamu berasa begitu. Tetapi sebaliknya berlaku. Ini baru di tempat aku. Kalau di tempat dia, mesti lagi hebat rasanya. Aku percaya begitu, kerana itulah yang W ceritakan kepadaku kerana dia baru pulang dari sana. Cerita W seperti menarik-narik aku untuk pergi bersamanya di lain hari jika diberikan kesempatan.

Kami bersembang. Selama demikian, tiada satu pun kata-kata yang sia-sia keluar dari mulutnya. Setiap patah perkataan adalah berhikmah. Bertambah rasa kagum dan hormat aku pada A.

Sambil memegang erat kedua tanganku,

"Insya-Allah, dengan izin-Nya, kita akan bertemu di syurga Allah. Seronoknya dapat jumpa awak".

Cair hatiku. Sungguh, kata-kata seumpama itu seingat aku pertama kali diucapkan kepadaku, terus menusuk ke kalbu.

Malam itu, 6 lagi rakan tiba. Sungguh, perasaan itu tiada kurangnya. Seperti sudah lama berkenalan. Mesra. Lalu aku mengambil keputusan untuk meluangkan masa sepenuhnya dengan mereka, sementelah masa mereka juga singkat di sini, untuk aku mengambil apa sahaja yang boleh sebagai santapan jiwa dan rohaniku yang sedang meronta-ronta minta diisi.

Alhamdulillah, pencarianku dikabulkan oleh-Nya. Aku menerima pertemuan kami sebagai antara hadiah yang tidak ternilai dari-Nya. Aku sangat bersyukur dengan hadiah ini dan tidak ada hasrat di hatiku untuk mensia-siakannya.

Byk mutiara yang bermanfaat yang aku dapat. Sebelum tidur telinga dan hati kami diisi. Cuma sayang keadaan kesihatan aku pada malam terakhir itu membataskan penyerapanku. Saat mata celik telingaku mendengar lagi, terus ke hati yang sentiasa bersedia mendengar pelbagai mutiara yang keluar dari mulut mereka. Tidak pernah berhenti.

Satu kelainan yang aku rasakan, aku tidak terlalu terkejar-kejar menyiapkan assignment seperti sebelum ini. Alhamdulillah telah dipermudahkan urusan oleh-Nya. Insya-Allah niat untuk mencari dan berbuat kebaikan akan dibalas dengan kebaikan berkali ganda dari-Nya. Dapat dirasakan kelancaran menyiapkannya. Masa tidak lagi menjadi penghalang. Ada tekanan, tetapi tidak terlalu hebat. Rupanya aku tidak perlukan hiburan lain untuk merehatkan diri saat tertekan menyiapkan assignment di waktu-waktu akhir. Ada cara lain yang lebih efektif. Sungguh aku merasakan kebesaran-Nya. Tetapi aku tidak berani menjangkakan keputusan assignment itu. Insya-Allah kalau keputusan tidak memuaskan hati aku, aku menerima dengan hati terbuka dan tidak akan bersedih hati lagi.

Nampak tak, walaupun masa itu kelihatan seperti singkat, tetapi sekali Dia membenarkan urusan kita dipermudahkan, masa singkat itu tidak langsung menjadi penghalang.

Kini aku faham, semua urusan di dunia ini dipegang oleh-Nya. Tidak perlu terlalu menyibukkan diri mengejar hal-hal dunia. Jika tidak, kita akan masuk dalam perangkap kitaran bodoh seperti robot.

Hari ini mereka semua pulang. Sedih, aku tidak dapat menghantar mereka semua pulang. Aku sudah mula rasa rindu. Sungguh, ukhuwwah atau tautan hati kerana Allah S.W.T. itu amat kuat.


1 comment:

  1. salam iynas.....

    rasa macam tak puas di welly hari tu.
    moga dapat kembali ke welly semula untuk kite share banyak perkara lagi!!!
    rindu welly juga!

    -huda-

    ReplyDelete