Monday, July 11, 2011

Jadi, kalau dah rasa tak boleh teruskan, baik beritahu dan putus awal-awal. Zaman sekarang, kalau iman tak cukup kuat, perkara teruk dari ini mungkin boleh terjadi. Aku pernah risau.

Oleh YATIMIN ABDULLAH

pengarang@utusan.com.my

KOTA BHARU 10 Julai - Seorang juruteknik kilang hari ini memfailkan saman ke atas bekas tunangnya di Mahkamah Tinggi di sini, bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM320,000 kerana membatalkan perkahwinan mereka yang sepatutnya berlangsung 8 Jun lalu.

Nik Mustafa Nik Daud, 30, dari Kampung Jedok Tua, Tanah Merah yang bekerja di Bangi, Selangor memfailkan saman itu melalui peguamnya, Mohd. Ridzuan Muhamad di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Turut hadir kedua-dua ibu bapanya dan beberapa ahli keluarga terdekat.

Dalam tuntutannya, plaintif yang merupakan anak keenam daripada sembilan beradik menuntut bekas tunangnya, Azlina Mohamed, 27, seorang pengurus restoran makanan segera di Serdang, Selangor dan berasal dari Kampung Nibong, Tanah Merah membayar ganti rugi am dan khas kerana mendakwa menanggung malu di atas tindakan wanita itu.

Ia melibatkan ganti rugi malu RM200,000, ganti rugi teruk atau ganti rugi teladan RM100,000, ganti rugi khas RM4,457.53 dan ganti rugi kos hangus (barang hantaran dan persediaan perkahwinan) RM17,000.

Lelaki itu turut menuntut supaya bekas tunangnya itu memohon maaf di dalam akhbar berbahasa Melayu di atas tindakan membatalkan perkahwinan tersebut, selama tiga hari berturut-turut.

Dia turut menuntut faedah lapan peratus ke atas keseluruhan jumlah saman dari tarikh tuntutan difailkan sehingga kes diselesaikan sepenuhnya.

Nik Mustafa ketika ditemui mendakwa, dia mengalami tekanan perasaan akibat tindakan bekas tunangnya itu kerana telah mengambil cuti kahwin selama seminggu dan rakan-rakannya pula asyik bertanya mengenainya.
Akibatnya, dia terpaksa mengambil cuti sakit selama empat hari sehingga prestasi kerja terjejas.

Menurutnya, mereka bertunang pada 1 Mei 2011 dengan wang hantaran RM6,000 dan tarikh pernikahan ditetapkan oleh pihak perempuan pada 8 Jun 2011 manakala majlis persandingan pada 9 Jun lalu diikuti persandingan di pihak lelaki sehari kemudian.

Dakwanya, dia juga telah membeli dua bentuk cincin berharga kira-kira RM3,000 untuk diserahkan kepada bakal isterinya itu pada hari pernikahan mereka.

"Bagaimanapun seminggu sebelum tarikh tersebut, defendan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dan meminta saya menangguhkan perkahwinan," dakwanya yang kali terakhir bertemu bekas tunangnya itu pada 30 Mei lalu.

Menurut Nik Mustafa lagi, berikutan SMS itu wakil bekas tunangnya datang ke rumah ibu saudaranya bagi membincangkan penangguhan itu, tetapi ditolak oleh keluarganya kerana segala persiapan termasuk 1,000 kad jemputan perkahwinan sudah diedarkan.

"Persiapan dulang hantaran sebelah lelaki juga telah diberikan kepada pihak perempuan," dakwanya.
Berikutan itu kata Nik Mustafa, bekas tunangnya itu sekali lagi menghantar SMS memutuskan pertunangan mereka seminggu sebelum tarikh mereka dinikahkan.

Jelasnya, memandangkan kad jemputan telah diedarkan, maka keluarganya terpaksa menggantikan majlis perkahwinan tersebut dengan kenduri kesyukuran.

Sementara itu, Azlina ketika dihubungi enggan mengulas kes tersebut kerana tidak menerima sebarang surat daripada pihak mahkamah.

"Saya nak tengok apa tuntutan mereka dan juga bukti-buktinya dan saya hanya memberi keterangan jika mahkamah memanggil. Kalau nak juga saya akan lantik peguam," katanya.

No comments:

Post a Comment