Wednesday, August 4, 2010
"Nak tunggu apa lagi?"
Aku kerap bertanya ikhwah yang masih bujang dan sepatutnya sudah kahwin setiap kali bertemu mereka: “Bila nak kahwin? Calon-calon akhawwat kat Baitul Muslim dah makin ramai?”. Macam-macam jawapan bersahaja yang diberikan: “Insya Allah ustaz bila sampai masanya”, “belum ada feel lah”, ekonomi belum kukuh”, “masih banyak perkara yang perlu didahulukan (priority)”, “nantilah dulu, tak fikir lagi…”
Bagi aku jawapan begitu tidak pelik kalau orang itu orang biasa yang tidak pernah diperdengarkan fikrah Islamiyyah dan dididik dengan perjuangan. Tapi andainya jawapan itu lahir dalam kalangan mereka yang telah ditarbiah dan hadam manhaj tagyir Islam, kurang logik dan tidak boleh diterima akal. Bahkan sepatutnya mereka mesti faham bahawa mereka perlu segera kahwin kerana:
i) Perkahwinan seorang da’ie bukan sekadar diasaskan oleh nafsu bahkan kerana ia satu tuntutan dakwah. Bukan sekadar menyelamatkan diri dari fitnah tapi menyelamatkan ummah dari musibah. Kalau tunggu feel, rasa dan bernafsu, setengah orang prioriti nafsunya pada harta, kerjaya, kereta, melancong, pangkat dan kedudukan melebihi feel terhadap wanita dan perkahwinan. Bila sudah senang dan mencapai impiannya baru mula berfikir untuk berkahwin, waktu tu juga bukan kerana feel tapi sekadar menjadi pelengkap diari hidup seorang lelaki. Waktu itu kalau pun belum terlambat tapi pastinya kurang produktiviti. Sedangkan sumbangan paling besar seorang akh adalah melalui rumahnya.
ii) Perkahwinan merupakan tangga kedua untuk menegakkan semula Islam. Musuh pula menjadikannya medan untuk menghancurkan Islam. Lihat sahaja kes perceraian yang berlaku di negara kita (http://www.islam.gov.my/informasi). Setiap tahun meningkat. Ini memberi gambaran buruk terhadap imej Islam dan menakut-nakutkan golongan teruna dara untuk berkahwin. Kalau orang yang memiliki kesedaran dan faham matlamat berumahtangga lambat berkahwin, pastinya arus kehancuran itu akan menang dan kita lemas dalam ombaknya. Berkahwinlah dan lawan arus itu dengan arus. Anda perlu buktikan bahawa rumahtangga da’ie adalah binaan kebahagiaan dan di dalamnya penuh keseronokan bukan seperti yang digambarkan.
iii) Kita perlu bersegera mempersiapkan barisan pejuang yang mantap tarbiahnya. Setiap orang yang ditarbiah wajib mentarbiah. Setiap yang memperolehi fikrah wajib mewariskan fikrah dan perjuangannya. Orang yang paling sesuai menerima semua itu adalah anak-anaknya sebelum orang lain. Lantaran itu sepatutnya setiap akh berusaha memperolehi zuriat yang ramai dan mendidik setiap seorang dari mereka memahahami apa yang difahami oleh ibu bapanya. Mana mungkin beroleh ramai kalau perkahwinan dilakukan di senja hari ketika matahari hampir terbenam. Musuh pula dengan mudah menyediakan tenteranya dan memasukkan jarum pelali untuk membekukan langkah ummah ke hadapan. Kes anak luar nikah (http://berita-harian-online.com/statistik-anak-luar-nikah-di-malaysia/), buang bayi dan bermacam isu sosial memihak kepada mereka dan memberi kekuatan perjuangan mereka.
iv) Nak tunggu urusan keluarga selesai? Tanya balik diri anda… bila? Bila tarikh selesainya. Urusan keluarga takkan pernah selesai. Dari kenduri kendara hinggalah sakit mati, itu perjalanan peristiwaa dalam keluarga yang bakal silih berganti. Cuma akan tamat bila anda telah ‘tamat’. Seoang akh perlu faham bahawa mereka bukan ditarbiah hanya untuk dikecapi kejayaannya oleh keluarga. Anda adalah harapan ummah untuk mengeluarkan mereka dari permasalahan yang belum nampak noktah penamatnya. Setelah ditarbiah dengan isu-isu besar, kenapa jadi mengecil ‘himmah’ anda? Anda mengagalkan impian dan wawasan.
v) Nak tunggu kaya? Nak tunggu settle semua? Ermm, kalau tanya orang paling kaya di dunia pun dia akan menjawab saya belum cukup kaya lagi, banyak lagi impian saya belum tercapai. Satu lagi, hidup di dunia ini tak akan ada istilah settle. Selesai satu masalah pasti datang masalah lain. Semua masalah akan selesai hanya kalau kita menjejak kaki ke syurga. Kalau ke syurga, Ameen. Perkahwinan adalah antara wasilah orang saleh mengintai syurga. Orang yang nak tunggu settle segalanya dan cukup duitnya mungkin terlupa janji Allah SWT dalam al-Quran:
وَأَنْكِحُوا الأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ) النور/32
Dan kahwinkanlah orang-orang yang masih sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui. (al-Nur:32)
Kata Ibnu Abbas r.a: “Allah SWT memerintahkan supaya bernikah dan memberikan galakan, ia memerintahkan hambanya menikahkan orangyang merdeka dan hamba sahaya. Allah berjanji untuk memberikan kesenangan kepada mereka”. Kata Ibn Mas’ud r.a: “Carilah kekayaan melalui pernikahan” (lihat: Tafsir al-Tabari: 19/166)
Kata Ibnu Kathir: “ Yang termaktub dalam kemurahan dan kelembutan Allah SWT terhadap hamba-hambanya ialah Ia akan memberi rezeki kepada lelaki dan wanita yang berkahwin sesuatu yang mencukupi keperluan keduanya”. (Tafsir Ibn Kathir: 51/52)
Berkata al-Saadi dalam tafsirnya: “Maka tiada yang menghalang dakwaan kamu yang menyangka bahawa apabila berkahwin kamu akan menjadi fakir kerana banyaknya tanggungan kamu, sedangkan ayat ini menggalakkan kamu berkahwin dan Allah berjanji kepada orang yang berkahwin untuk mengkayakan mereka setelah hidup dalam kefakiran”. (Tafsir al-Saadi: 567)
Jadi apa alasan anda lagi untuk lambat kahwin, menangguh-nangguhkan perancangan dan sengaja menghabiskan usia muda dengan urusan-urusan dakwah yang ringan. Anda bukan lelaki tulen atau jangan marah kalau dipersoalkan ‘kelelakian’ anda.
Oleh: Ustaz Sarip Adul
YDP ISMA Sabah
Sumber: Blog Abu Syifa’
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment